1.0
Pengenalan
Aktiviti
kokurikulum sebenarnya telah lama diperkenal dan dilaksanakan dalam sistem
pendidikan di negara ini, iaitu sejak zaman penjajahan British lagi. Antaranya ialah penubuhan pasukan pengakap
yang pertama di Malaysia mengambil tempat di Singapura pada tahun 1909. Aktiviti gerakerja kokurikulum ini diberi
penekanan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seperti yang terkandung dalam
surat arahan School Course of Studies Regulation 1956 dan Pindaan
tahun 1961 (Akta Pendidikan 1961, No.552.)
Aktiviti ini dikenali dengan nama Kegiatan Kumpulan. (Ab. Alim,
2004). Sekarang ini aktiviti kokurikulum
telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada proses pendidikan, yakni sebahagian
daripada Kurikulum Kebangsaan yang wajib dilaksanakan di sekolah-sekolah. Untuk itu, aktiviti kokurikulum perlulah
dirancang, diurus dan dilaksanakan secara sistematik, cekap dan berkesan seperti
mana proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
2.0
Definisi Kokurikulum
Kegiatan atau
gerakerja kokurikulum merupakan aktiviti pendidikan yang dirancang dan
dilaksanakan selepas waktu pelajaran formal di dalam dan di luar bilik darjah
berasas dan lanjutan sesi persekolahan. (Mok Soon Sang, 2011). Selain itu kokurikulum juga boleh diertikan
sebagai apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah,
mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di
bilik darjah. (Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum
Kebangsaan),
1997). Sementara Kamus Dewan Edisi
Ketiga (2002) pula mendefinisikan
kokurikulum sebagai kegiatan atau aktiviti selain mata pelajaran yang diajarkan
dalam bilik darjah tetapi yang dianggap sebagai sebahagian daripada kursus
pendidikan pelajar di sekolah . Menurut
Md. Aris Mansor dalam Ab. Alim Abd. Rahim (2004), aktiviti kokurikulum merupakan
satu bidang pembelajaran yang berasaskan kepelbagaian gerakerja terancang dan
perlu dilakukan dalam masa persekolahan.
Menurut Ee Ah Meng (1995) pula, kokurikulum merupakan satu saluran
pembelajaran yang berasaskan gerak kerja tersusun dan terancang. Menurutnya lagi, gerak kerja ini adalah
lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah yang
dijalankan melalui pertubuhan pakaian seragam, persatuan atau kelab dan kelab
permainan atau sukan.
3.0
Matlamat Aktiviti Kokurikulum
Pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan
di sekolah-sekolah antara lain mempunyai beberapa matalamat. Antaranya ialah untuk memperkembangkan
intelek, sosial, jasmani dan rohani murid secara optimum. Selain itu aktiviti kokurikulum yang
dijalankan juga bermatlamat untuk mengukuh dan memperkaya ilmu dan kemahiran
yang dipelajari dalam bilik darjah, serta memperluas pengalaman murid dalam
bidang tertentu. Melalui kegiatan
kokurikulum juga, murid-murid diharapkan dapat mengisi masa lapang dengan lebih
berfaedah, dan memberi kegembiraan serta pembinaan kesihatan dan kesejahteraan
kendirinya.
Melalui gerak kerja kokurikulum juga, diharap
dapat memperkembang dan meningkatkan kemahiran-kemahiran asas dalam sesuatu
permainan, sukan, unit
beruniform, dan aktiviti
berpersatuan. Selain itu aktiviti
kokurikulum juga bermatlamat untuk melatih murid supaya mengejar pencapaian yang
cemerlang dalam aktiviti kokurikulum di peringkat negeri, kebangsaan dan
antarabangsa. Disiplin murid juga dapat
ditingkatkan melalui aktiviti kokurikulum melalui penyemaian dan pemupukan nilai
dan sikap positif selaras dengan hasrat Rukun Negara. Selain itu aktiviti kokurikulum juga diharap
dapat membentuk iklim sekolah dengan lebih menarik dan menggembirakan murid di
samping dapat mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan murid.
4.0
Objektif Kokurikulum
Antara lain objektif aktiviti kokurikulum adalah untuk melengkapkan
kurikulum sekolah, khasnya program pendidikan jasmani yang diperlukan. Di samping itu, ia juga mempunyai objektif untuk
mempelbagaikan aktiviti kepada murid-murid mengikut kebolehan dan bakat
masing-masing. Aktiviti kokurikulum juga
dapat memberi ruang kepada murid-murid untuk melepaskan tekanan perasaan setelah
bertungkus-lumus di dalam bilik darjah.
Melalui aktiviti kokurikulum juga, murid-murid berpeluang untuk
berinteraksi di antara satu sama lain, serta memupuk semangat toleransi dan
sifat-sifat mulia dalam kalangan mereka.
Murid-murid juga dapat memupuk semangat berpasukan melalui pergaulan
dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum.
5.0
Aktiviti Kokurikulum di Sekolah
Di peringkat sekolah, terdapat 3 jenis aktiviti kokurikulum iaitu Sukan
dan Permainan, Persatuan dan Kelab, dan Pasukan Pakaian seragam. Pelaksanaan aktiviti kokurikulum di sekolah
adalah bertujuan untuk mengembangkan potensi, bakat dan kepimpinan murid-murid
dalam bidang jasmani, sosial, kebudayaan dan khidmat masyarakat, di samping
membentuk sahsiah dan sikap yang positif.
Kelab dan Persatuan boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu Kelab dan
Persatuan yang berasaskan sesuatu mata pelajaran dan yang berunsurkan hobi. Menurut Laporan Kabinet 1979, matlamat
penubuhan sesebuah kelab / persatuan di sekolah adalah untuk menggalakkan
murid-murid berkenalan sesama sendiri, memberi perkhidmatan kepada masyarakat di
samping membolehkan murid-murid atau pelajar memperolehi kemahiran di dalam
sesuatu lapangan atau hobi. Kelab dan Persatuan berasaskan mata pelajaran
bertujuan menambahkan minat dan kemahiran murid-murid dalam mata pelajaran
itu. Contoh persatuan-persatuan dalam kategori ini ialah
Persatuan Bahasa Malaysia, Persatuan Sains, Persatuan Matematik, Persatuan
Sejarah dan sebagainya. Manakala
Persatuan dan kelab yang berunsur hobi pula bertujuan menarik minat dan memberi
ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang atau hobi yang tertentu. Contoh persatuan dan kelab tersebut ialah
Kelab Senifoto, Kelab dan Persatuan Pertahanan Diri seperti silat dan taekwondo,
Kelab muzik dan kebudayaan, dan lain-lain lagi.
.
Di dalam Laporan Kabinet 1979, adalah dicadangkan agar semua murid
sekolah digalakkan mengambil bahagian sekurang-kurangnya salah satu pasukan
pakaian seragam. (Mok Soon Sang, 2011). Antara
pasukan pakaian seragam yang boleh dianggotai oleh murid-murid sekolah ialah
sama ada yang berbentuk badan sukarela (NGO) atau pun yang lebih terarah kepada
pertubuhan kerajaan. Antara pertubuhan
yang berbentuk badan sukarela atau bukan kerajaan (NGO) ialah Pertubuhan
Pengakap, Pertubuhan Puteri Islam, Pandu Puteri, Pertubuhan Bulan Sabit Merah,
St. John’s Ambulans dan lain-lain.
Sementara pasukan pakaian seragam yang menjurus kepada pertubuhan
kerajaan ialah kadet polis, kadet bersatu Malaysia, kadet bomba, dan lain-lain. Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia
sendiri menubuhkan dua unit pakaian seragam di bawah kementeriannya iaitu Tunas
Kadet Remaja Sekolah (TKRS) bagi sekolah rendah manakala Kadet Remaja Sekolah
(KRS) pula adalah untuk sekolah menengah.
Sukan dan permainan merupakan satu saluran penting untuk menanam semangat
kesukanan, memupuk persefahaman serta perpaduan dalam kalangan murid-murid di
negara kita. Maka dengan sebab itulah
diwujudkan kelab-kelab permainan di peringkat sekolah dan dilakasanakan pada
waktu aktiviti kokurikulum. Menurut
Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 16, Tahun 2010: Pelaksanaan Satu Murid Satu Sukan (1M1S),
setiap murid wajib mengambil bahagian sekurang-kurangnya dalam satu jenis
permainan atau sukan. Dasar 1M1S
menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk
melahirkan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Oleh itu itu, melalui dasar ini, setiap murid
akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah
sepanjang tahun. Ia juga selaras dengan
dasar sukan negara untuk membudayakan sukan di kalangam masyarakat. Antara bidang sukan dan permainan yang boleh dilaksanakan di
peringkat sekolah ialah bola sepak, bola
jaraing, olahraga, bola tampar, sepak takraw dan lain-lain lagi.
6.0 Permasalahan yang dihadapi oleh
guru-guru yang melaksanakan aktiviti kokurikulum di
sekolah-sekolah
Terdapat pelbagai permasalahan
yang dihadapi oleh guru-guru dalam melaksana dan mengendalikan aktiviti
kokurikulum di sekolah-sekolah. Ada
masalah-masalah yang berpunca daripada guru-guru sendiri sehingga aktiviti
kokurikulum tidak dapat dijalankan sebaik mungkin. Antaranya guru-guru sendiri tidak
bergiat dalam aktiviti kokurikulum kerana merasakan ia membuang masa pelajar.
Ada sesetengah guru pula merasakan
tempat tinggal mereka yang jauh menyukarkan untuk melaksanakan aktiviti
kokurikulum di samping mempunyai pelbagai tanggungjawab yang perlu
dipikul.
Selain itu ada juga guru-guru yang
menjalankan aktiviti kokurikulum mempunyai pengetahuan yang agak terhad dan
kurang kemahiran serta pengetahuan dalam bidang yang diberikan kepada mereka
oleh pihak pentadbir. Keadaan ini timbul
kerana mereka kurang pengalaman dan tidak pernah didedahkan dengan sebarang
kursus. Ini menimbulkan masalah kepada
guru-guru untuk melaksanakan aktiviti yang benar-benar dapat menimbulkan minat
di kalangan murid atau pelajar. Keadaan
ini dapat dilihat hasil daripada kajian Laporan Kabinet (1979) yang mendapati
kecenderungan guru terhadap sesetengah aktiviti kokurikulum seperti unit
beruniform dan sukan tidak memberangsangkan.
Terdapat juga para pelajar atau
murid-murid yang terlalu mementingkan peperiksaan sehingga mengabaikan kegiatan
kokurikulum yang dijalankan di sekolah-sekolah. Lim Yen Yen (1991), dalam kajiannya mendapati
bahawa aktiviti kokurikulum kurang penting sebaliknya mereka lebih memberi
tumpuan terhadap bidang akademik semata-mata.
Mereka beranggapan bahawa bidang akademik lebih menjamin masa depan
mereka berbanding menyertai aktiviti kokurikulum di
sekolah-sekolah.
Permasalahan juga timbul akibat
daripada kekuarangan kemudahan serta penjadualan yang kurang sistematik. Ada sesetengah sekolah tidak mempunyai
prasarana yang lengkap bagi membolehkan aktiviti kokurikulum dapat dijalankan
dengan jayanya. Misalnya terdapat
sekolah-sekolah yang tidak mempunyai padang bola yang sesuai bagi membolehkan
aktiviti dijalankan malah jika ada pun hanyalah merupakan padang yang agak
sempit. Ini akan menimbulkan kesesakan
apabila aktiviti sukan diadakan, seterusnya menimbulkan rasa tidak selesa di
kalangan pelajar. Selain itu peralatan
yang tidak mencukupi turut menyumbangkan kepada permasalahan kepada guru-guru
untuk melaksanakan aktiviti kokurikulum sebaik mungkin. Keadaan ini diburukkan lagi apabila pihak
pentadbir sendiri kurang memberi perhatian terhadap hal-hal begini.
Sesetengah sekolah pula kadangkala
tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi terutama sekolah-sekolah gred ’B’
atau Sekolah Kurang Murid (SKM). Keadaan
ini akan menimbulkan masalah jika sekolah ingin mengadakan aktiviti perkhemahan
yang menelan belanja yang agak banyak.
Keadaan ini selalunya berlaku bagi sekolah-sekolah yang terdapat di luar
bandar. Sebarang kutipan daripada murid
tentunya akan membebankan ibu bapa.
Faktor tempat tinggal pelajar juga
turut menyumbang kepada permasalahan ini di samping masa pelaksanaan kokurikulum
itu sendiri. Ramai pelajar yang tinggal
berjauhan dengan sekolah memberikan alasan bahawa mereka gagal menghadiri
aktiviti kokurikulum kerana menghadapi masalah pengangkutan apabila aktiviti
dijalankan pada waktu petang. Mereka
juga terpaksa pulang agak lewat terutama bagi yang tinggal jauh dari sekolah dan
ini akan mengundang bahaya ketika dalam perjalanan. Oleh itu, sebagai jalan tengah, mereka
mengambil keputusan untuk terus tidak menghadiri aktiviti tersebut.
Kurang galakan daripada ibu bapa
juga menjadi pendorong terhadap permasalahan guru-guru melaksanakan aktiviti
kokurikulum. Menurut Mustafa Kamal
(2000), dalam kajiannya mendapati ibu bapa kurang mendorong anak-anak untuk
bergiat dalam aktiviti kokurikulum.
Ramai ibu bapa beranggapan bahawa akademik lebih penting untuk
mencorakkan masa depan anak-anak mereka berbanding kegiatan kokurikulum. Di samping itu ramai juga ibu bapa yang
ragu-ragu dengan fungsi kokurikulum yang dianggap tidak dapat membantu anak-anak
mereka.
7.0 Cara-cara penyelesaian
permasalahan kokurikulum
Terdapat pelbagai cara yang dapat
digunakan untuk mengurangkan bebabanan guru-guru mengatasi permasalahan yang
timbul dalam menjalankan aktiviti kokurikulum.
Faktor utama yang dilihat mendorong kepada kurangnya penglibatan pelajar
ialah penyertaan guru-guru semasa mengendalikan aktiviti tersebut. Menurut Abu Bakar (1991), penyertaan guru
adalah sangat penting bagi memastikan aktiviti kokurikulum berjalan
dengan lancar. Penyertaan dan peranan yang dimainkan oleh
guru dalam aktiviti kokurikulum akan menggalakkan para pelajar hadir serta
melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.
Di samping itu guru-guru pula haruslah kreatif ketika menjalankan
aktiviti supaya para pelajara tidak berasa bosan dengan aktiviti yang stereotaip
sahaja.
Selain itu, para pelajar haruslah
diberi kebebasan untuk memilih aktiviti yang diminati oleh mereka kerana ini
akan mendorong mereka menjalankan aktiviti dengan bersungguh-sungguh. Mereka juga akan mendapat kepuasan daripada
aktiviti yang diminati dan tidak berasa seolah-olah dipaksa oleh guru. Melalui aktiviti yang diminati, para pelajar
akan dapat memperkembangkan potensi diri yang ada pada mereka melalui
aktiviti-aktiviti yang mencabar.
Seterusnya mereka akan mendapat pendedahan dengan bermacam-macam cabaran,
dugaan dan sebagainya. Mereka juga akan
dapat menonjolkan bakat yang ada pada mereka secara optima kerana mereka
melakukan aktiviti yang mereka minati.
Segala aktiviti yang dilakukan pastinya lahir daripada hati mereka yang
ikhlas.
Bagi sekolah-sekolah yang menghadapi
masalah kelengkapan dan peralatan yang tidak mencukupi, pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia hendaklah memberi bantuan yang sepatutnya kepada sekolah
berkenaan. Selain itu pihak sekolah juga
patut berusaha mencari sumber-sumber lain untuk membeli peralatan baharu. Antara sumber-sumber yang boleh diusahakan
ialah melalui sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru, orang perseorangan,
syarikat-syarikat yang membekalkan barangan kepada sekolah dan lain-lain
lagi. Pihak sekolah juga boleh
mengadakan aktiviti ’Hari Kantin’ atau mengadakan ’Jogathon’
untuk mencari dana bagi membeli peralatan kokurikulum seperti peralatan untuk
perkhemahan dan juga untuk aktiviti sukan.
Seterusnya masalah pengangkutan dan
masa yang turut menjadi penghalang kepada para pelajar untuk menjalankan
aktiviti kokurikulum dapat diatasi dengan mengubah masa pelaksanaan. Pihak pentadbir haruslah peka dengan masalah
ini kerana ia melibatkan keselamatan pelajar jika waktu tamat aktiviti agak
lewat. Oleh itu adalah dicadangkan pihak
sekolah dapat menyusun penjadualan dan memulakan aktiviti kokurikulum seawal jam
3.00 petang dan berakhir 5.00 petang.
Selain itu, ibu bapa juga haruslah
diberi kesedaran tentang kepentingan aktiviti kokurikulum dalam usaha
memperkembangkan potensi dan sahsiah anak-anak mereka agar menjadi insan yang
seimbang selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan. Mereka haruslah
diberikan cermah motivasi atau kursus keibu bapaan agar mereka dapat faham
sebaik mungkin fungsi kokurikulum terhadap anak-anak mereka.
8.0 Penutup
Kegiatan kokurikulum yang
dijalankan di sekolah-sekolah mempunyai amat penting dalam usaha melahirkan
pelajar-pelajar yang seimbang seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK). Aktiviti kokurikulum
sebenarnya merupakan lanjutan daripada aktiviti yang dipelajarai dalam bilik
darjah. Misalnya aktiviti sukan dan
permainan merupakan lanjutan daripada mata pelajaran Pendidikan Jasmani yang
diajar di dalam bilik darjah.
Penglibatan pelajar secara menyeluruh terhadap aktiviti yang dijalankan
membolehkan para pelajar mengahayati falsafah sebenar kokurikulum
tersebut seterusnya dapat membantu mereka untuk bergaul dan berhadapan dengan
masyarakat pada masa hadapan.
Pengelolaan aktiviti kokurikulum
yang teratur dan sistematik akan memberi keberkesanan dalam mencapai hasrat
FPK. Aktiviti yang teratur dan menarik akan menyebabkan para pelajar
memberi tumpuan seperti mana yang
berlaku terhadap bidang akademik. Hal
ini adalah kerana penyertaan dan penglibatan para pelajar untuk menyertai
aktiviti kokurikulum adalah dipengaruhi oleh aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan
serta kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah.
Di samping itu, peranan guru-guru
penasihat juga mempengaruhi penyertaan para pelajar untuk menjalankan aktiviti
kokurikulum yang dirancangkan. Guru-guru
penasihat juga seharusnya mempunyai kemahiran untuk mengelolakan aktiviti agar
dapat menarik minat para pelajar. Para
pentadbir haruslah menghantar guru-guru yang tidak berpengalaman untuk
berkursus. Begitu juga dengan ibu bapa
dan masyarakat yang harus bersama-sama menggerakkan aktiviti kokurikulum dengan
pihak sekolah bagi melahirkan insan yang benar-benar seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani, intelek dan juga sahsiah.
No comments:
Post a Comment